(kudakepang) UMNO belum jalankan bedah-siasah ke atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Kalau ada pun hanya satu usaha yang kelihatan tidak terperinci, tidak menyeluruh dan tidak bersungguh-sungguh.
Itulah kesimpulannya setelah meneliti wawancara bertulis Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dengan satu akhbar perdana dan setelah mengkaji ucapan Abdullah sempena harijadi UMNO ke-62 tahun di PWTC Kuala Lumpur.
Dalam wawancara tersebut, antara lainnya, Abdullah telah ditanya soalan di bawah ini:
Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?
Maksud soalan berkenaan adalah, apakah usaha-usaha pemulihan yang dilakukan oleh UMNO sesudah PRU 12. Jawapan bertulis Abdullah kepada soalan ini adalah seperti berikut:
Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.
Pertemuan
Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.
Jawapan di atas membuktikan bahawa UMNO belum mengendalikan satu post-mortem khusus terhadap kekalahan BN dalam PRU 12 yang juga membabitkan calon-calon UMNO.
Apa yang telah dilakukan oleh Abdullah hanyalah menganjurkan beberapa siri pertemuan tertutup di Seri Perdana, Putrajaya, dengan “ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian.”
Dalam pertemuan tertutup itu, kata Abdullah, seluruh pihak terbabit “telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.”
Kata Abdullah lagi: “pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.”
Musibah
Saya memfokus kepada soal post-mortem ke atas UMNO selaku induk BN berikutan PRU12 kerana tanpa usaha ini adalah sukar untuk UMNO melakarkan strategi tercancang, menyeluruh dan berkesan demi UMNO dan BN di hari muka.
Soal post-mortem ini juga saya bangkitkan kerana inilah usaha pertama yang sewajarnya diberi keutamaan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO sesudah berlaku “musibah” atau “bencana” yang dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 12.
Lebih mendesak lagi, post-mortem ini adalah amat penting kerana menerusi PRU 12, BN dan UMNO bukan sahaja gagal menawan semula Kelantan, malah kehilangan kuasa kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Lantaran itu, mengapakah UMNO belum mengadakan sebarang post-mortem menyeluruh ke atas kekalahannya dalam PRU 12? Mungkinkah kerana Abdullah amat yakin bahawa UMNO masih utuh, unggul dan kuat? Sebab itukah Abdullah juga menegaskan dalam wawancara bertulisnya seperti berikut:
Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.
Terhakis
Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.
Abdullah pasti mempunyai wisdomnya tersendiri untuk bersikap positif dan optimis seperti di atas. Tetapi, bila UMNO hanya “memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya” dalam PRU12 dan “majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004”, adakah ini perkembangan biasa?
Tidakkah jadi satu keperluan dan keutamaan untuk mengkaji sebab-sebab UMNO dan BN kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor? Adakah kekalahan 15 peratus kerusi yang ditandingi UMNO bukan perkembangan luar biasa? Tidakkah UMNO perlu ketahui mengapakah prestasinya menurun dalam PRU 12? Abdullah mungkin betul bila beliau mengatakan “orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total” dan “kuasa orang Melayu belum terhakis.” Tetapi, bagaimanakah Abdullah memastikan hakikat ini secara objektif dan berwibawa?
Inilah ironinya Abdullah. Beliau amat yakin bahawa “UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh.” Tetapi, keyakinan ini nampaknya hanya berasaskan laporan yang disampaikan kepada beliau dalam sesi tertutup di Seri Perdana.
Muhyiddin
Pada 13 April 2008, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Naib Presiden UMNO, mencadangkan BN melakukan satu post-mortem terhadap kekalahan teruk BN dalam PRU 12. Post-mortem ini, kata Muhyiddin, wajar dilaksanakan “secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa.”
Muhyiddin membuat cadangan itu kerana “kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. Pertama, mereka sebut soal kepimpinan, mereka menyalahkan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dan Pengerusi BN. Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut fakta KJ. Mungkin ia tidak betul atau persepsi, tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting.”
Muhyiddin juga menegaskan: “Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa. Ada yang sebut soal-soal berkaitan ketelusan, hak kebebasan dan nilai-nilai baru yang mungkin kita tidak sedari mulai menyerap dalam pemikiran generasi baru. Kita masih berfikiran lama. Orang sudah berubah, kita tidak berubah.”
Begitulah hakikatnya Abdullah dan UMNO pada harijadi parti yang ke-62. Abdullah selaku Presiden boleh menyatakan apa sahaja yang beliau mahukan. Realitinya, UMNO hari ini bukan UMNO semalam. UMNO hari seolah-olah dalam keadaan darurat.
Kalau sikap Abdullah masih seperti kenyataannya di atas, saya hanya boleh menyatakan: “Selamat maju jaya UMNO.” Mudah-mudahan dalam PRU 13 kelak parti warisan bangsa ini masih survive dan terus berkuasa!
Filter
No comments...
Write Comment
Please keep the topic of messages relevant to the subject of the article.
Personal verbal attacks will be deleted.
Please don't use comments to plug your web site.. Such material will be removed