(nobisha) Entahlah, saya tak baca betul-betul laporan berita mengenai "kununnya" ada demonstrasi bogel di depan bangunan SUK Selangor. Sejak berita itu keluar, orang yang menggelar diri mereka sebagai "Reformis" mendapat publisiti luas. Masyarakat kita memang suka berita "gempaq" macam tu. Asal ada cerita sensasi, kita berkerumun seperti semut mengerumi gula. Bagi saya, ah, biarkan sajalah.
Kita sudah lama melihat orang-orang politik kita berbogel dan membogelkan orang lain; terutama sekali sesama Melayu-Muslim. Lantaran itulah maka hari ini kita sudah tahu siapa yang anu kecil, siapa yang anu besar. Siapa yang sudah bersunat, siapa yang belum lagi bersunat.
Oleh kerana politik kita ialah politik membogelkan orang lain, maka hari ini pemimpin politik Melayu dikaitkan dengan rasuah, takut bini, salahguna kuasa, salahlaku seks, menyeleweng dan seribu satu perkara yang mengaibkan.
Strategi politik kita hari ini ialah politik bogel. Telanjangkan lawan. Aibkan dia. Politik tuduh-menuduh ini bukanlah baru. Dah lama berlaku dalam masyarakat kita. Tuduh apa saja. Heret ke mahkamah, betul atau salah belakang kira. Yang penting, jatuhkan airmukanya di khalayak.
Bagi saya, orang lain mungkin salah, tetapi itu tidak bermaksud anda betul!
Saya ingat lagi suatu waktu dulu seorang sahabat pernah bercakap mengenai bahaya penyebaran berita palsu. Hari ini, sahabat itulah yang membuat blog menyiarkan pelbagai tohmahan. Berita palsu yang diulang-ulang akan dipercayai. Perkara yang belum tentu salah-benar diwarwarkan sebagai satu kebenaran. Katanya, itu perjuangan meruntuhkan kebatilan!
Nak saya hujjahkan dengan al-Quran dan al-hadis mengenai dosa penyebaran berita palsu? Ah, saya fikir tak perlulah. Ia adalah satu perkara yang diketahui. Seorang Muslim sepatutnya tahu dosa dan pahala dalam soal ini.
Politik bogel ini berlaku dalam semua parti politik. Tak perlulah ada sesiapa di kalangan ahli politik kita yang cuba berlagak sebagai malaikat. Bimbang nanti orang menjuihkan bibir.
Usah kita buat-buat terkejut dengan demonstrasi bogel. Politik kita memang politik bogel!
Filter
No comments...
Write Comment
Please keep the topic of messages relevant to the subject of the article.
Personal verbal attacks will be deleted.
Please don't use comments to plug your web site.. Such material will be removed