(bernama) Seramai 830 orang daripada 182 keluarga mangsa banjir dari lima kampung di Yan dipindahkan akibat hujan lebat yang melanda negeri ini semalam.Mangsa banjir itu dari Kampung Kepala Bukit, Kampung Titi Lahar, Kampung Titi Teras, Kampung Teroi Bukit dan Kampung Sungai Malai ditempatkan di empat pusat pemindahan.
Menurut jurucakap bilik Gerakan Banjir Yan, mereka dipindahkan mulai malam tadi selepas air dari Sungai Gurun Diversion melimpah.
Beliau berkata 134 orang daripada 36 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, 256 orang (48 keluarga) di Masjid Teras, 168 orang (43 keluarga) di Surai Teroi dan 272 orang (55 keluarga) di Surau Kepala Bukit.
Jurucakap itu berkata setakat ini belum ada mangsa yang lemas akibat banjir tersebut di Yan dan beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.
Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menguruskan bantuan kepada semua mangsa banjir terbabit.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menguruskan perpindahan seramai 41 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi Bukit yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula Selasa ini ke SK Teroi sekiranya banjir tidak reda.
Jurucakap Jabatan Parit dan Saliran (JPS) pula berkata air Sungai Gurun Diversion bermula di Titi Teras melimpah malam tadi akibat hujan lebat dan melanda lima kampung secara berperingkat-peringkat.
Katanya air sungai itu mencatatkan 5.420 meter pada pukul 10 pagi ini dan semakin surut. Paras berjaga-jaga 3.5 meter dan paras merbahaya 4.5 meter.
Sementara itu seramai 10 keluarga di Bukit Jenun, Pendang dipindahkan pagi ini apabila air Sungai Jenun melimpah akibat hujan malam tadi.
Filter
No comments...
Write Comment
Please keep the topic of messages relevant to the subject of the article.
Personal verbal attacks will be deleted.
Please don't use comments to plug your web site.. Such material will be removed